Sukar untuk klinik bergantung pada pesakit bayar sendiri, kata MMA

Sukar untuk klinik bergantung pada pesakit bayar sendiri, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata adalah sukar untuk klinik bergantung kepada pesakit yang membayar sendiri semata-mata terutamanya di kawasan bandar memandangkan semakin ramai yang menerima manfaat perubatan daripada majikan atau penjagaan kesihatan bersubsidi.

Presidennya Dr Ravindran R Naidu berkata keadaan bertambah sukar dengan trend masa kini yang menggunakan perkhidmatan Pentadbir Tuntutan Perubatan Pihak Ketiga (TPA) yang pada pandangannya menyumbang kepada kemerosotan pendapatan doktor dan klinik.

“Sesetengah TPA menggunakan kedudukan dominan mereka untuk mengurangkan fi perundingan doktor dan ada pula yang mengambil peratusan tetap daripada fi doktor sebagai ‘fi pentadbiran’.

“MMA telah menyatakan secara jelas amalan ini dianggap pembahagian fi, justeru tidak beretika,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata MMA berpandangan adalah lebih penting untuk Kementerian Kesihatan mengawal selia kegiatan TPA terbabit agar amalan tidak beretika ini dapat dihapuskan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefli Ahmad yang menyarankan agar klinik berusaha menarik pelanggan menerusi perkhidmatan yang disediakan dan tidak bergantung kepada panel insurans semata-mata.

CATEGORIES