Sukarelawan dilarang sertai SAR atas faktor keselamatan

Oleh KIM SYAZIE

Kejadian tanah runtuh di Batang Kali mendapat banyak perhatian daripada ramai pihak, jadi pastinya akan ada banyak yang ingin membantu untuk menyelamatkan mangsa, walaupun berniat baik namun sukarelawan tidak dibenarkan membantu.

Hal ini adalah disebabkan keadaan struktur tanah yang berisiko tinggi dan disebabkan faktor keselamatan maka sukarelawan tidak dibenarkan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis memahami terdapat beberapa pihak awam yang ingin membantu dalam kerja-kerja SAR.

Namun perkara utama di sini ialah soal keselamatan pelbagai pihak yang menyebabkan mereka tidak dibenarkan untuk turut serta dalam operasi tersebut.

“Kita hadkan operasi pencarian ini dengan diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan beberapa agensi lain.

“Kawasan yang terlibat ini luas, sekiranya kita memberikan kebenaran dibimbangi penugasan tidak dapat diselaraskan dan menjadi kucar-kacir,” katanya seperti dipetik Utusan.