Sukarelawan Malaysia tiba di Gaziantep bantu pelarian Syria

Sukarelawan Malaysia tiba di Gaziantep bantu pelarian Syria
Foto: FB Pertubuhan Sukalrelawan Muslim Malaysia

Tujuh sukarelawan Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) selamat tiba di Gaziantep di sini yang terletak kira-kira sejam dari Kilis berdekatan sempadan Turki-Syria.

Kumpulan sukarelawan yang turut disertai wartawan BERNAMA itu, dalam misi musim sejuk 3.O MVM-GPM, akan menyalurkan makanan dan selimut tebal untuk lebih 2,700 keluarga pelarian Syria di sempadan Turki-Syria.

Mereka juga akan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria yang berdepan ancaman musim sejuk di dalam wilayah bergolak itu, menerusi pintu sempadan Kilis.

Presiden MVM, Muhammad Jantan berkata sukarelawan Malaysia akan berada di Turki sehingga 26 Januari depan untuk menghantar bantuan makanan serta keperluan lain.

Katanya, dana awal sebanyak RM150,000 telah disalurkan kepada rakan NGO di Turki, Bonyan.

“Kita masih perlu RM150,000 lagi untuk memastikan lebih 2,700 keluarga yang disasar dapat dibantu sepenuhnya. Kita hanya ada enam hari lagi untuk capai sasaran ini dengan sokongan rakyat Malaysia.

“Kami akan hantar sendiri bantuan ini di penempatan pelarian di Gaziantep, Kilis, Sanliurfa di Turki serta masuk ke Syria, insya-Allah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Anggota misi lain ialah Muhammad Azmy Hassan, Ros Atiqah Fatin Abdullah, Nur Faeza Samsimon dari MVM dan Hasrol Sazli Abdul Khail dan Zatul Iffah Fakharuldin dari GPM.

Orang ramai atau badan korporat yang ingin menyumbang boleh menyalurkan dana kepada Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia di akaun Maybank (56480 164 7699) dan CIMB (8602537807) dengan rujukan “syria”.

Perkembangan lanjut misi boleh diikuti di Facebook Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Malaysia (GPM).-BERNAMA.