Sukarelawan serah 10,000 tandatangan Deklarasi Rakyat

Sukarelawan serah 10,000 tandatangan Deklarasi Rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Mahathirisme dan Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia (GKCM) menyerahkan 10 ribu tandatangan Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Kira-kira 30 orang bertemu Dr Mahathir di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pagi tadi bagi menyerahkan tandatangan berkenaan.

Menurut Yang Dipertua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya yang mengiringi kumpulan tersebut, jemputan daripada Dr Mahathir diterima dalam tempoh kurang daripada 24 jam menyebabkan mereka hanya sempat mengumpul sebahagian daripada tandatangan yang berjaya dikumpul di seluruh negara.

“Saya hanya mengiringi kumpulan anak muda Mahathirisme dan GKCM untuk menyerahkan sendiri borang-borang deklarasi rakyat kepada Tun Mahathir.

“Mereka ini secara sukarela mendapatkan tandatangan tanpa dibayar mana-mana pihak. Mereka sayangkan Tun maka mereka bekerja bersungguh tanpa apa-apa imbuhan.Kumpulan anak muda yang serah deklarasi rakyat kepada Tun Mahathir

“Mereka pergi ke pasar malam, pasar raya dan juga ke rumah-rumah kenduri kahwin mengajak orang ramai tandatangan deklarasi rakyat.

“Jadi penyerahan ini sebagai kenangan dalam hidup mereka,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Dr Mahathir.

Pertemuan diadakan secara tertutup dan media tidak dibenarkan turut serta.

Mereka antaranya dari negeri Pahang, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Bukan soal politik

Sementara itu, Hakim Nordin yang mewakili kumpulan Mahathirisme menyeru orang ramai khususnya anak muda bersama-sama menandatangani Deklarasi Rakyat yang akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja pada 15 Mei ini.

Mahathirisme dare to speak outBeliau menegaskan, Deklarasi rakyat tiada kena-mengena dengan poliik sebaliknya ingin menyelamatkan Malaysia daripada terus diperintah oleh kerajaan yang zalim.

“Saya mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, parti politik dan agama, mari bersama kami tunaikan hak anda sebagai rakyat yang mana selama ini anda telah tertindas dan dizalimi di bawah pemerintahan yang sedang menzalimi kita.

“Jadi saya minta kita semua sedar dan jangan takut. Ini bukan politik. Ini hak anda sebagai seorang rakyat untuk bersuara. Ayuh, turunkan tandatangan anda,” katanya.

Dr Mahathir sewaktu menghadiri jelajah Selamatkan Malaysia di Kepala Batas Ahad lalu berkata, usaha mendapat sokongan Deklarasi Rakyat telah melepasi sasaran satu juta tandatangan.

TAGS