Sukarnya menteri, sukar lagi petani

Sukarnya menteri, sukar lagi petani

 

Oleh kerana Timbalan Presiden parti nyamuk yang saya anggotai ini diamanahkan sebagai Menteri yang menjaga petani, nelayan, penternak dan segala berkaitan jasa kepada tanah dan air, maka itu saya berikan kesungguhan penuh untuk merasai denyut nadi mereka. Prestasi kementeriaannya adalah prestasi kami.

Kami ini hanya pemimpin parti di peringkat akar umbi. Paling tinggipun, pemimpin negeri.

Saya anak tani dan dibesarkan di kawasan pertanian. Apabila bekalan baja, racun, benih sabsidi mengalami masalah bekalan, petani yang sedia derita mengalami kesukaran menyara kehidupan mereka.

Tentu saya merasai itu semua. Mereka adalah kawan, saudara mara dan jiran tetangga saya. Tapi, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Dua bulan lalu, petani di bendang Sungai Manik cemas kerana baja subsidi belum sampai. Padi dibaja pada waktunya. Terlepas waktu membaja, padi memang membesar tanpa baja.

Berdekad-dekad petani hidup bersubsidi, sudah sebati dalam jiwa raga mereka. Kebergantungan mereka adalah tinggi.

Tok-tok sidang menyalurkan masalah kepada saluran. Tentulah salurannya kepada kerajaan dan agensi yang berkaitan.

Ada yang membahaskannya di kedai kopi dan juga media baru sebagai saluran mereka. Berbahas hingga tinggi matahari atau sampai ke bintang kejora pun, masalah belum selesai. Ia hanya medan melepas kemarahan dan keresahan sahaja. Jangan halang. Ini demokrasi.

Petani berdemo di tepi bendang. Undang wartawan bikin story. Itu pun jangan halang. Cuma saya agak terkilan kerana polis topi dan trak merah sama-sama ada. Seingat saya, terakhir mereka ada di Pasir Salak ialah 2008. Itupun saya masih di luar negara.

Pada masa itu, lebih kurang 20 orang merasa naik lori polis percuma. Isu yang dibawa pada masa itu adalah isu peserta FELCRA di Seberang Perak.

Orang kuat yang mengetuai demonstrasi itu adalah Pesuruhjaya Pas Perak sekarang.

Pada masa itu, saya tidak mengenalinya kerana beliau tidak pernah wujud dalam kamus aktiviti parti di peringkat negeri. Demonstrasi itulah yang mengangkat namanya sehingga menjadi pemimpin politik yang tersohor.

 

Setiausaha Politik Menteri Pertanian, Sabki Yusof menyelami masalah NAFAS.

 

 

Berbalik tentang isu petani yang gelisah menanti baja. Alhamdulillah, hasil perbincangan pelbagai peringkat (tidak perlulah semua hendak diberitahu), bekalan akhirnya sampai kepada petani di Pejabat Pertubuhan Peladang Sungai Manik.

Datuk Mazlan Aliman selaku Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang turun sendiri ke Sungai Manik. Datuk Mazlan Aliman adalah AJK AMANAH Nasional.Satu majlis ringkas diadakan bersempena penyerahan baja kepada wakil petani.

Ahli Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hampir keseluruhannya dikuasai oleh regim lama. Ia seperti juga dengan KEMAS. Kemenangan politik PH dalam pilihan raya bukan lampu Aladdin yang boleh mengubah segala-galanya.

Harapan orang memang tinggi kepada kerajaan. Dalam mentaliti Melayu, kerajaan ini dianggap seperti lembu terbang membawa putera raja atas langit seperti hikayat dalam Sulalatus Salatin.

Sawah padi Wan Empuk dan Wan Malini menjadi emas, tangkainya berubah menjadi perak. Kedua-dua perempuan desa itu, tiba-tiba menjadi permaisuri.

Peralihan kuasa yang mendadak sejak enam dekad menyebabkan tidak sedikit berlakunya kekalutan. Namun ia masih dalam kawalan. Sekarang dalam proses penyelarasan dan penyesuaian fungsi dan ketelusan bekerja.

Yang sudah jadi pembangkang, kotak fikirannya masih macam kerajaan. Begitulah sebaliknya. Ada sedikit kecelaruan identiti dan fungsi.

Bulan lepas, petani di Labu Kubong mengadu pada media tentang isu yang sama.
Dan seminggu ini, berlaku di Seberang Perak pula. Semua itu berlaku di Parlimen Pasir Salak yang ahli parlimennya pernah menjadi Timbalan Menteri yang jaga hal ehwal petani.

 

Siri demo petani di Parlimen Pasir Salak ekoran masalah bekalan baja subsidi.

 

Apabila NAFAS kembali bernafas selepas digantung kerana masalah pengurusannya, Pak Menteri hantar Sabki Yusof, Setiausaha Politiknya membuat tugasan khas sebelum beliau sendiri menyelami masalah NAFAS.Selama ini NAFAS bernafas dalam lumpur.

Sedang petani berdemo, saudara SyamGhaz, ahli Lembaga NAFAS dan LPP turun ke lapangan. Sebelah petangnya berbincang terus dengan Pengerusi PPK Seberang Perak. Tanya dari ke hati-hati.

Pengurus PPK pun ada. Wakil negeri pun turun sama. Pegawai NAFAS ada. Tidak ramai tapi memadai untuk mencari jalan penyelesaiannya yang terbaik.  Seusai perbincangan, segelas teh tarik dan kuih chubadak kami jamu. Sedap dan menyelerakan.

Saya tahu, masalah petani belum selesai tapi setidak-tidaknya kami tahu di mana jalan penyelesaiannya. Saya percaya Pak Menteri tidak perlu menangis lagi dan petani akan mengerti bahawa kita miliki hati yang sama: berbakti pada pertiwi

* Penulis merupakan Naib Pengerusi AMANAH Perak.