Malaysia Dateline

‘Sukarnya PKR bergerak ketika pimpinan utama khianat, yang tinggal pilih bercuti’

Terdapat pimpinan PKR yang lebih rela memilih untuk bercuti ketika parti itu dikhianati pemimpin lain, luah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Sukarnya KEADILAN bergerak tatkala sejumlah pimpinan utama khianat dan yang tinggal pula memilih untuk bercuti.

“Tugas mengukuhkan parti pula digalas oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan lain yang masih ada,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu itu berkata, biro politik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menjadi platform menyusun segala langkah dan strategi parti.

'Sukarnya PKR bergerak ketika pimpinan utama khianat, yang tinggal pilih bercuti'
Anwar Ibrahim

“Presiden kekal dengan disiplin organisasi yang tinggi, tekun mendengar pandangan semua, sabar memberi bimbingan dan tunjuk ajar, sesekali tegas dan keras dalam membuat keputusan.

“Pesanan beliau mudah iaitu sebelum parti buat keputusan sila beri pendapat sama ada setuju atau tidak setuju, tegur dan kritik tapi jangan sesekali beri ‘ultimatum’,” ujarnya.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, apabila parti sudah membuat keputusan, pemimpin perlu patuh dan melaksanakan keputusan itu.

“Ini kerana, setiap keputusan parti dibincang dan diputuskan bersama dan semua orang perlu bertanggungjawab.

“Jadi pemimpin jangan sesekali lepas tangan, ini prinsip tanggungjawab yang kita pegang,” tambahnya lagi.

PKR sebelum ini menyaksikan sejumlah pemimpinnya berpaling tadah dalam tindakan yang digelar Langkah Sheraton.

Peristiwa yang membawa kepada keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu kemudiannya menyaksikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden parti tersebut, Zuraida Kamaruddin kemudiannya menyertai Bersatu pada Ogos 2020.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/pkr-tidak-berpuak-puak-kata-anwar/

Baca juga: https://themalaysialife.com/zul-ariffin-mohon-maaf-muat-naik-aksi-panas/