Sukatan pelajaran dan akses pemimpin perlu berlandas realiti, adil

Sukatan pelajaran dan akses pemimpin perlu berlandas realiti, adil

Pergerakan Pemuda Umno Malaysia  berpendapat penambahan  sukatan pelajaran subjek sejarah yang dicadangkan Kementerian Pendidikan  perlu adil dan tidak boleh mengelak dari politik kepartian yang sememangnya termaktub dalam sejarah  negara kerana Umno-BN merupakan parti yang memperjuangkan kemerdekaan.

Naib Ketuanya Shahril Hamdan juga berkata, pengisian dalam sukatan pelajaran subjek tersebut perlu adil kepada realiti yang berlaku di negara ini.

“Janganlah disebabkan kerajaan PH memerintah, mereka tebalkan jilid PH dan tipiskan jilid BN yang lagi banyak jasa dalam tepoh  60 tahun memerintah.

“Tapi pembelajaran subjek itu nanti perlu juga sebut tentang parti sebab sejarah Malaysia ini tidak boleh lari dari sejarah parti politik yang mana Umno yang telah memerdekakan Malaysia,”ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Baca: Pendidikan politik bukan lagi satu pilihan

Pemuda Umno juga berpendapat kerajaan sudah seharusnya membuka peluang sama rata dan saksama kepada pihak pembangkang terutama ahli politik untuk mendekati pelajar di sekolah-sekolah.

Ketidaksediaan kerajaan hari ini, dilihat sebagai satu cabaran kepada parti pembangkang untuk menyusun gerak mendekati pelajar seawal di bangku sekolah.

Katanya, perkara tersebut hanya menyebabkan pelajar cenderung untuk memilih pemimpin yang sering hadir ke sekolah mereka untuk program rasmi sekolah sekaligus memberi undi kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kita tak dapat masuk sekolah, tak dapat merasmikan PIBG, tambah pula yang hanya dapat masuk sekolah adalah ahli politik kerajaan, Jadi ia akan memberi kesan kepada pengundian.

“Silap-silap nanti pelajar mengundi wakil calon itu sebab dia kenal Yb itu sahaja dan bukannya sebab Yb itu bagus. Kalau ibu bapa dan guru, mungkin mereka dah terdedah kepada politik dari awal dan tidak mudah terpengaruh.

“Kalau guru atau ibu bapa jumpa Yb yang sama pun, tak semestinya dia undi Yb itu. Begitu juga jika setiap kali yang datang merasmikan program sekolah adalah menteri atau Adun dari kerajaan, maka tak adil lah bagi ahli politik Barisan Nasional (BN) sebab tak diberi akses yang adil.

“Jadi cabaran yang kita alami selama ini adalah ketidaksediaan pihak kerajaan untuk mengizinkan ahli politik dari pembangkang untuk mendekati sekolah,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan undi 18 perlu membabitkan satu transformasi kepada kesaksamaan akses kepada sekolah kerana ia melibatkan pengundi yang bukan sahaja guru dan ibu bapa, malah juga pelajar.

Jelasnya, tidak adil bagi pihak pembangkang seandainya PH memperoleh kelebihan dengan mendekati sekolah secara monopoli.

Namun katanya, melalui Sekretariat Tunas Muda yang ditubuhkan awal penggal tahun ini, mereka telah mendekati pelajar di luar sekolah dengan program penerangan yang berbentuk sejarah parti itu sendiri.

“Program program yang kita laksanakan mungkin tidak dihebahkan kerana kerajaan dilihat tidak terbuka dalam memberi ruang sama rata dan saksama kepada pihak pembangkang sehingga terpaksa buat secara tertutup dan separa sembunyi,” katanya.

Semalam Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, penambahbaikan sukatan pelajaran Sejarah Tingkatan 4 dan 5 turut meliputi pendedahan amali mengenai amalan demokrasi dan pilihan raya.

Beberapa elemen ditambah selaras dengan usaha untuk meningkatkan pemahaman mengenai amalan demokrasi serta pilihan raya dalam kalangan golongan muda.

Penambahbaikan sukatan pelajaran itu adalah susulan daripada Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.