Malaysia Dateline

Sukma Johor: KBS sudah buat banyak pertemuan dengan kerajaan negeri

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan bahawa kementeriannya tidak membuat perbincangan dengan kerajaan negeri Johor berkaitan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

Mengulas kritikan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung perkara itu, beliau berkata telah banyak pertemuan dibuat sebelum ini dan yang terbaharu ialah pada 14 Dis lepas antara kementeriannya dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan kerajaan negeri Johor.

“Terbaharu Menteri Besar Johor (Datuk Osman Sapian) telah mengeluarkan kenyataan bahawa ada banyak pertemuan antara kementerian dengan pihaknya dan pertemuan saya dengan exco Belia dan Sukan Johor,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini hari ini.

Semalam, Tunku Ismail menerusi laman Twitternya mempersoalkan apabila mendapati tiada sebarang peruntukan dan gerak kerja termasuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dalam penganjuran temasya itu seperti dijanjikan sebelum ini.

Johor dijadual menganjurkan SUKMA 2020.

— BERNAMA