Sulaiman bidas cubaan mencabar perlantikannya sebagai ketua pendakwa kes SRC International

Sulaiman bidas cubaan mencabar perlantikannya sebagai ketua pendakwa kes SRC International

Datuk Sulaiman Abdullah hari ini menyifatkan cubaan pihak pembelaan untuk mencabar pelantikan beliau selaku ketua pendakwaan dalam kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana ia dikemukakan di saat-saat akhir.

Sulaiman yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan oleh Jabatan Peguam Negara memberitahu Mahkamah Tinggi pihak pembelaan sepatutnya membangkitkan perkara itu pada hari pertama sebutan kes itu.

“Adalah tidak bertanggungjawab bagi pihak pembelaan untuk mengemukakan permohonan bagi mencabar pelantikan ini di saat-saat akhir. Ia sudah terlambat,” katanya apabila kes itu disebut untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau juga berkata pihak pendakwaan sudah pasti akan memfailkan bantahan awal mengenai permohonan itu.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta perkara itu didengar bersama dengan permohonan penzahiran dokumen termasuk kenyataan saksi yang sepatutnya diserahkan kepada mereka oleh pihak pendakwaan.

“Ia adalah untuk mempercepatkan kes dan saya bersedia untuk menyerahkan pada Disember. Mungkin perkara ini boleh diselesaikan sebelum Krismas,” kata Muhammad Shafee yang dijawab oleh Mohd Nazlan secara berseloroh: “Saya fikir anda beritahu saya bahawa anda akan bercuti?

“Itu sebelum mereka (mahkamah) mengambil pasport saya,” katanya yang disambut dengan gelak ketawa dari galeri awam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 Dis untuk mendengar kedua-dua permohonan itu.

Loading...

Najib, 65, kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika pendengaran kes tersebut.

Pada 4 Julai, Anggota Parlimen Pekan itu didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah  dan satu pertuduhan menyalahgunakan  jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah wang yang sama.

— BERNAMA