Malaysia Dateline

Sulaiman tidak wajar dilantik KM sementara, SUK Melaka boleh jalankan tugas

Pakatan Harapan Negeri Melaka berpandangan adalah tidak wajar untuk membenarkan bekas Ketua Menteri Melaka yang baru sahaja hilang sokongan iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri ‘caretaker government’

Pengerusi PH Melaka yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pandangannya itu selaras dengan apa yang berlaku (precedent case) pada 2 Mac 2020, di mana tugas pentadbiran kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

“Pakatan Harapan Negeri Melaka akan merujuk kepada mahkamah bagi memastikan keabsahan “caretaker government” seperti mana yang diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka.

“Pakatan Harapan turut berpandangan bahawa permohonan Datuk Seri Sulaiman Md Ali kepada Yang Dipertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka Ke-14 mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab kerana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Malahan Pilihan Raya Negeri Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama,” katanya lagi.

Terdahulu, empat Adun yang menarik sokongan dari Sulaiman berikutN ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang `flip-flop’ serta tidak dilaksanakan dengan sempurna

Empat Adun terbabit adalah Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).