Malaysia Dateline

Sultan Abdullah azam laksana tugas Agong sebaik mungkin

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk tunai dan lunaskan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong sebaik mungkin”.

Itu reaksi pertama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung keputusan Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja semalam yang melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun bermula 31 Jan ini.

Sultan Abdullah turut melahirkan rasa syukur terhadap amanah dan anugerah itu selain menjunjung kasih terhadap Sultan dan Raja-raja Melayu kerana memberi kepercayaan kepada baginda untuk menggalas tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

“Sudah tentu saya amat memerlukan kerjasama yang rapi, nasihat dan panduan supaya sama-sama dapat laksanakan tugas sebaik mungkin…mudah-mudahan dirahmati Allah supaya kita dapat memajukan negara Malaysia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada media selepas Majlis Santapan Jamuan Kesyukuran Sempena Memuliakan Sultan Abdullah di masjid baharu daerah Temerloh di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah dan anakanda Sultan Abdullah, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Pada majlis itu Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan bantuan kepada 200 asnaf termasuk 30 pelajar sekolah menengah agama.

Sementara itu Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah turut melahirkan rasa syukur atas pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Saya doakan tuanku akan menjalankan sebaik-sebaik tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dan selama ini pun tuanku telah banyak pengalaman dan telah 44 tahun menjalankan tugasnya dengan begitu baik (sebagai Pemangku Raja Pahang).

“Saya rasa tuanku akan cuba menjadi lebih baik dan saya hanya sebagai penyokong dari belakang,” titah baginda.