Sultan Abdullah naik takhta Pahang hari ini

Sultan Abdullah naik takhta Pahang hari ini
Sultan Abdullah bersama Permaisuri Pahang Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Rakyat Pahang secara rasminya akan menerima ketua negeri yang baharu apabila Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam dalam istiadat yang akan berlangsung di Bandar Diraja, Pekan, hari ini.

Majlis yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada 11 pagi itu mencatat sejarah penting bagi negeri itu selepas kali terakhir istiadat itu diadakan pada 45 tahun lalu, sempena pemasyhuran ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar pada 7 Mei 1974.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang esok, telah diputuskan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang selepas bermesyuarat pada Jumaat lepas. Majlis itu sebulat suara bersetuju Sultan Abdullah dimasyhurkan menggantikan ayahanda baginda yang kini dilaporkan dalam keadaan gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sultan Abdullah, 59, sebelum ini memangku jawatan Sultan Pahang sejak 28 DisEember 2016.

Tinjauan Bernama di Istana Abu Bakar hari ini mendapati persiapan sedang giat dilakukan petugas dan pegawai istana serta jabatan yang berkenaan bagi memastikan istiadat bersejarah itu berjalan lancar walaupun diadakan dalam tempoh yang singkat.

Sultan Abdullah turut berkenan mencemar duli berangkat ke Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada petang ini bagi meninjau raptai yang diadakan untuk istiadat pemasyhuran itu.

Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat persiapan istiadat berkenaan.

Turut berangkat Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Ariff Temenggong Pahang Tengku Abd Fahd Muadzam Shah, serta anakanda putera dan puteri baginda.

Tinjauan Bernama juga mendapati laluan utama ke Istana Abu Bakar dihias indah dengan bendera negeri Pahang yang berkibaran di kiri kanan jalan menuju ke istana.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mengesahkan tiada pengistiharan cuti peristiwa diberikan sempena istiadat itu esok.

Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal, Pekan merupakan cahaya mata keempat pasangan dan juga putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Afzan Tengku Muhammad.

Baginda merupakan seorang yang cukup arif dalam selok belok hal ehwal pentadbiran negeri kerana telah menjadi Tengku Mahkota Pahang hampir 44 tahun setelah secara rasmi dilantik sebagai Waris Ganti pada 1 Julai 1975 iaitu sehari selepas baginda genap berusia 16 tahun.

Baginda juga telah dua kali dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang iaitu kali pertama pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun ketika berusia 20 tahun, apabila Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984).

Kewibawaan yang ditunjukkan itu menyebabkan Sultan Ahmad Shah berkenan sekali lagi melantik anakanda baginda itu menjadi Pemangku Raja Pahang pada 28 Dis 2016 selepas kesihatan baginda mula merosot.

Sultan Abdullah telah mendirikan rumahtangga dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986.

Baginda dikurniakan sembilan cahaya mata iaitu empat putera dan lima puteri.

— BERNAMA