Sultan Abdullah YDP Agong baharu, Sultan Nazrin Timbalan

Sultan Abdullah  YDP Agong baharu, Sultan Nazrin Timbalan
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula sekali lagi dipilih sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi pemilihan itu di Istana Negara, Kuala Lumpur yang selesai pada 12.45 tengah hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin itu berlangsung selama lebih satu jam.

Mesyuarat dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.

Pemilihan itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lepas.

Timbalan YDP Agong Sultan Nazrin Shah

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial  Syed Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata pengisytiharan bagi jawatan YDP Agong ke-16 dan TImbalan YDP Agong selama tempoh 5 tahun akan berkuatkuasa pada 31 Januari 2019.

Beliau juga berkata, pelantikan YDP Agong dan Timbalan telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Menurut peruntukan Paragraf 3 Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-raja telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen dan YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” ujar kenyataan itu.