Malaysia Dateline

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah

Sultan arah rakam semua kuliah di masjid, surau seluruh Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tauliah mengajar penceramah Zamihan Mat Zain.

Menurut kenyataan baginda melalui Setiausaha Dewan Diraja Selangor Hanafisah Jais, setelah berbincang, baginda memperkenankan tindakan itu melalui Peraturan 4, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Tindakan ini adalah lanjutan daripada satu ceramah agama yang disampaikan oleh Dr Zamihan bin Mat Zin yang mengandungi perkataan-perkataan bersifat rasis, kurang beradap dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

“Tambahan pula, ceramah agama yang disampaikan oleh beliau diadakan di masjid diraja, yang mana ceramah agama seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Zamihan dilapor mempertikai pendirian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu dobi untuk orang Islam sahaja di Muar.

Beliau bagaimanapun berkata tidak menyebut nama pemerintah tertinggi Johor itu tetapi sedia mengadap dan memohon maaf jika baginda terasa hati.

Pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pernah berkhidmat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu kini disiasat bawah Akta Hasutan 1948 dan baru dibebaskan daripada tahanan reman kelmarin.

Sultan Sharafuddin juga menitahkan supaya pengurusan masjid dan surau di Selangor merakam setiap ceramah dan kuliah dijalankan.

Ia bagi tujuan pemantauan bagi mematuhi Peraturan-peraturan Tauliah dan Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.