Malaysia Dateline

Sultan Brunei berkenan terima menghadap PM Anwar

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei, di Istana Nurul Iman di sini hari ini.

Anwar yang diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di istana itu pada 11.05 pagi.

Turut berangkat pada majlis menghadap itu ialah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah turut hadir.

Anwar kemudian mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah.

Perdana Menteri dan Sultan Brunei turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Delegasi Malaysia kemudian diraikan pada Majlis Persantapan Rasmi oleh Sultan Hassanal Bolkiah.

Anwar tiba di Brunei semalam dan diberikan sambutan rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Kunjungan ini ialah lawatan rasmi ke luar negara yang kedua beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November tahun lepas.

— BERNAMA

Baca juga : Cubaan guru songlap duit BAP gagal, ibu jadi detektif tuntut hak anak