Genap lima tahun bertakhta sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong ke -16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menamatkan penggal pemerintahan pada 30 Januari.
Hari ini rakyat Malaysia bakal menyaksikan Sultan Johor Sultan Ibrahim yang dijadual mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi tempoh lima tahun.
Menurut BERNAMA, istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Istiadat itu akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Di hadapan sultan dan raja Melayu, kerabat diraja serta dif-dif kenamaan, Sultan Ibrahim akan menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan, yang isi kandungannya dibacakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, Sultan Ibrahim dijadual berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada 7.45 pagi tadi dan dijadual berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke ibu negara.
Istiadat Keberangkatan Tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9.45 pagi.
Kemudian Sultan Ibrahim berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.
Difahamkan, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan anakanda-anakanda turut dijadual berangkat ke istiadat bersejarah itu.
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada Oktober tahun lepas yang turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, semalam.
Baca juga: Tun Daim label PMX salah guna kuasa, sekali wakil rakyat ungkit zaman Tun M lebih dahsyat