Malaysia Dateline

Sultan Ismail Petra mangkat

Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra, ayahanda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah mangkat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu pada jam 8.11 pagi tadi.

Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan dalam suatu kenyataan mengumumkan jenazah baginda akan dibawa ke Istana Balai Besar di Kota Bharu.

“Dukacita dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Al-Sultan Yahya Petra (ayahanda Sultan Kelantan) telah mangkat pada jam 8.11 pagi tadi di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan.

“Jenazah Al-Marhum DYMM Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan kali terakhir dan dijangka Istiadat Pemakaman akan dilangsungkan selepas solat asar di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan,” kata kenyataan itu.

Almarhum Sultan Ismail Petra, 70 tahun, menaiki takhta sebagai Sultan Kelantan Darul Naim ke-28 pada 30 Mac 1979 sehingga 13 September 2010.