Malaysia Dateline

Sultan Johor berkenan biayai kos baik pulih wad perempuan HSA.

Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa Baginda berkenan untuk membiayai kos membaikpulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar petang, semalam.

DYMM Sultan Johor bertitah, Baginda juga akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan segera, di mana kos pembaikan ditanggung sepenuhnya
oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

“Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.

DYMM Sultan Johor bertitah, Baginda sentiasa mengutamakan rakyatnya, dan peranan YSIJ juga amat besar kerana sentiasa terlibat dalam membantu orang ramai dalam pelbagai perkara.

Tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan dalam kebakaran Wad Perempuan 1, HSA yang berlaku sekitar pukul 3 petang semalam.

hanya 24 pesakit yang berada di blok wad lokasi yang terbakar dan telah dipindahkan di dua lokasi termasuk di wad induk HSA pada pukul 4 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, punca kebakaran wad berkenaan masih dalam siasatan.