Malaysia Dateline

Sultan Johor kecewa penularan Covid-19 belum selesai, perkenan DUN bersidang 12 Ogos

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini menyatakan rasa kecewa dengan keadaaan penularan pandemik Covid-19 yang sudah melebihi 700,000 kes jumlah keseluruhan.

Menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim memperkenankan Dewan Negeri Johor (DUN) bersidang pada 12 Ogos ini.

Baginda berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor di Kota Iskandar, pada tarikh berkenaan.

“Saya mahu semua Ahli DUN (ADUN) bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor, terutama membahaskan pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat terjejas akibat Covid-19 dan menyusun pelan pemulihan ekonomi Johor dengan sebaiknya.

“Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini. Saya juga kecewa sehingga hari ini, penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin, pagi tadi.

Baginda turut menerima menghadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu, bagi mendapatkan laporan keadaan pandemik Covid-19 di Johor.

Untuk rekod, Johor semalam mencatatkan pertambahan 239 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 68,546 kes.

Jumlah tersebut menjadikan negeri di selatan tanah air itu berada di kedudukan ketiga tertinggi kes Covid-19 selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

Tiga daerah mencatatkan kes baharu tertinggi di Johor semalam ialah Johor Bahru sebanyak 108 kes, diikuti Muar (39 kes) dan Tangkak dengan 25 kes setakat 12 tengah hari semalam.

Selain itu, Kulai mencatatkan 14 kes baharu diikuti Pontian (11 kes), Kota Tinggi (8), Mersing (6) Kluang (5) manakala Segamat dan Batu Pahat masing-masing tiga kes.

Lapan kematian direkodkan semalam dengan tiga daripadanya di Tangkak dan dua kes kematian di Muar.

Sementara itu, Johor Bahru, Kluang dan Batu Pahat masing-masing mencatatkan satu kes kematian.