Malaysia Dateline

Sultan Johor nafi poster titah Umno berhenti perdaya rakyat

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini menafikan sebuah poster tular berhubung titah baginda terhadap Umno.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di Facebook rasmi hari ini bertitah, baginda tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam poster itu.

Baginda bertitah kenyataan dan poster itu adalah palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan dalam media sosial,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda ataupun Keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor) di laman sosial rasmi.

Sejak semalam, poster yang tular itu antara lain memaparkan gambar Sultan Ibrahim serta nama baginda yang mengaitakan titah baginda terhadap Umno.

“Kerajaan Umno perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah,” dipetik dari poster palsu itu.