Malaysia Dateline

Sultan Johor pandu kereta api Blue Tiger hari kedua KMJ

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan meneruskan perjalanan hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 dengan memandu kereta api khas lokomotif  ‘Blue Tiger’ dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kluang, pagi ini.

Perjalanan itu menuju ke Stesen KTMB Segamat sejauh 98 kilometer sebelum baginda meneruskan perjalanan menaiki Morgan ke Padang Awam Batu Anam, untuk bertemu rakyat.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Sultan Johor turut sempat melakukan tinjauan dan pemeriksaan koc bagi memastikan kelancaran  perjalanan sebelum berlepas.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan mencemar duli bersantap bersama 10 kakitangan KTMB Kluang kira-kira 7.50 pagi.

Menurut Jurutera KTMB Nik Mohd Azri Nik Adnan, beliau merasa bertuah dan bangga kerana dapat melihat Sultan Johor secara dekat.

Berkhidmat lebih lima tahun di KTMB, beliau berkata pengalaman itu tidak dapat dilupakannya.

“Tuanku Sultan sempat beramah mesra dan minum air sedikit sebelum bergerak ke koc Blue Tiger. Perasaan bangga sebab bukan senang nak jumpa, memang momen ini sangat berharga,” katanya.

Hari kedua KMJ 2018 menyaksikan perjalanan rombongan yang mendapat perkenan Sultan Ibrahim sebagai ketua rombongan itu sejauh 305 kilometer bermula dari Kluang, Segamat, Tangkak, Muar ke destinasi terakhir di Batu Pahat.

Pelbagai acara disediakan yang dijangka membabitkan penyertaan keluarga dan kerabat Diraja Johor antaranya pameran membuat sajian masyarakat India seperti vadei, tose dan puri.

Selain itu penyampaian sumbangan anak yatim, berkhatan, cukur jambul, tarik tali, bola sepak kain pelekat dan gubahan bunga turut diadakan.

— BERNAMA