Malaysia Dateline

Sultan Johor selamat tiba selepas Mesyuarat dengan Agong

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar selamat tiba di Johor selepas berkenan berangkat ke Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Baginda adalah antara sultan yang pertama tiba, memasuki kompleks Istana Negara pada pukul 12.02 tengah hari bagi menghadiri perbincangan khas itu.

Namun Baginda dilaporkan telah meninggalkan Istana Negara pada pukul 5.15 petang kerana menguruskan hal-hal peribadi.

Di status Facebooknya, menunjukkan Baginda baru sahaja sampai di Johor dengan sebuah penerbangan khas.

Perbincangan khas itu bagi meneliti pandangan yang dikemukakan pemimpin-pemimpin parti politik ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak minggu lepas.

Berangkat ke istana ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah (atas); Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, manakala Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun Sultan Kelantan Sultan Muhammad V tidak berangkat.

Beberapa pegawai tertinggi turut hadir antaranya, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.