Malaysia Dateline

Sultan Johor titah jangan terpengaruh dengan anti-vaksin

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan rakyat Malaysia jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti-vaksin yang dipelopori pihak tertentu.

Baginda Sultan bertitah, rakyat perlu memahami bahawa tujuan pengambilan vaksin adalah untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.

Menerusi akaun Facebook baginda, Sultan Ibrahim bertitah bahawa mereka yang menolak tanpa sebab munasabah vaksin Covid-19 yang telah disediakan oleh kerajaan dan difatwakan halal oleh Jawatankuasa Fatwa, seolah-olah merelakan diri dijangkiti wabak berbahaya ini.

“Islam mengajar kita agar sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan dari apa jua kemudaratan khususnya wabak penyakit.

“Kaedah dalam menentukan hukum hakam ada menegaskan bahawa membenteras keburukan adalah lebih utama dari membawa sesuatu kebaikan.

“Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak anti-vaksin ini.

“Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok agar penularan Covid-19 dapat dicegah,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Johor turut bertitah mengingatkan segelintir pihak supaya tidak mempolitikkan isu vaksin.

Baginda memetik Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud : “Jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan”.