Sultan Johor ziarah Muhyiddin di hospital Singapura

Oleh MALAYSIADATELINE

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menziarahi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menerima rawatan disebuah hospital pakar swasta di Singapura hari ini.

Sultan Ibrahim meluangkan masa hampir 30 minit bertanyakan khabar dan keadaan Tan Sri Muhyiddin yang telah selamat menjalani pembedahan pada 12 Julai lalu bagi membuang ketumbuhan di pankreas.

Dalam pertemuan itu, baginda bertitah menasihatkan Tan Sri Muhyiddin supaya tidak bimbang dan tertekan, sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya dalam rawatannya.

“Saya mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin cepat sembuh dan kembali menjalankan tugas kerana khidmatnya diperlukan oleh rakyat dan negara,” titah Tuanku Sultan Ibrahim.

Beberapa keping gambar telah dimuat naik dalam facebook baginda petang ini. Turut kelihatan hadir sama, isteri Tan Sri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Baginda turut menasihatkan semua pihak supaya ketepikan apa jua fahaman politik dan bersama-sama mendoakan kesihatan Tan Sri Muhyiddin.

Keberadaan Sultan Ibrahim di Singapura bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan akibat kecederaan lama ketika bermain sukan polo.

Sebelum ini pada Sabtu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali turut menziarahi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.