Sultan Kedah berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Quran

Sultan Kedah berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Quran

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah malam ini berkenaan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Masjid Al-Falah, Felda Sungai Tiang, di sini.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis itu disambut Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEIK),  Datuk Abdul Rahman Ismail.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Majlis dimulakan dengan solat isyak berjemaah seterusnya disusuli dengan solat sunat tarawih dan sunat witir yang diimamkan Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Kota setar Mohamad Fidaiy Zainal Abidin.

Majlis kemudian diteruskan dengan ceramah berkaitan Nuzul al-Quran yang disampaikan Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Roslan Che Ros.

Majlis diakhiri dengan santapan moreh bersama jemaah yang hadir sebelum baginda berangkat meninggalkan majlis.

Kira-kira 1,000 orang hadir memeriahkan majlis yang berakhir pada 10.30 malam.

Malam Nuzul al-Quran adalah malam 17 Ramadan yang al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmat seluruh alam.

Surah al-Quran pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah Surah Al-Alaq ayat 1 hingga 5.- BERNAMA