Sultan Kedah dan Sultanah berangkat ke majlis santapan malam rejimental ulang tahun RAMD

Sultan Kedah dan Sultanah berangkat ke majlis santapan malam rejimental ulang tahun RAMD

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Rejimental Hari Ulang Tahun Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ke- 85 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini hari ini.

Baginda selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD berangkat tiba kira-kira 8.10 malam disambut oleh Pengerusi RADM Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin.

Ketika bertitah baginda mengingatkan agar RAMD membuat persedian sewajarnya bagi memikul tugas yang serba mencabar dan meningkatkan kualiti latihan bagi membentuk warga yang mempunyai integriti dan inisiatif tinggi.

“Dalam pada itu juga, jagalah keselamatan fizikal termasuk dokumen-dokumen dan maklumat-maklumat yang berdarjah agar ia tidak bocor dan terlepas ke tangan tali barut petualang negara.

“Ingatlah, era teknologi maklumat pada ketika ini membuatkan kita lebih terdedah kepada bahaya ketirisan maklumat yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mengintai peluang untuk mencemarkan imej dan keselamatan negara,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menyeru agar seluruh warga RAMD mempertingkatkan usaha mengawal benteng pertahanan negara agar kemerdekaan yang dikecapi kini terus berkekalan.

Turut berangkat ke Majlis Santapan Malam berkenaan Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Salehuddin dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.

— BERNAMA