Sultan Kelantan rasmi projek zakat Selangor bernilai RM8.7 juta di Pasir Puteh

Sultan Kelantan rasmi projek zakat Selangor bernilai RM8.7 juta di Pasir Puteh

Kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) bagi membantu golongan asnaf di bawah projek ‘Selangor Prihatin’ membuahkan hasil apabila penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenerih, Pasir Puteh dirasmikan semalam.

Menurut laporan Selangorku.com, konsep penempatan agro-ekonomi bermatlamat supaya asnaf fakir dan miskin yang disantuni akan lebih produktif dalam menjana ekonomi melalui projek tanaman kontrak yang dibangunkan bersama.

Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah kepada penghuni Desa Alam Shah disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke V dan disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

IMG-20160503-WA0005Inisiatif ini dibangunkan atas keprihatinan Sultan Selangor supaya manfaat dana zakat di Selangor dapat disalurkan kepada negeri yang kurang mempunyai sumber zakat.

Hasilnya, penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah direalisasikan selepas pembinaan penempatan sama di Taman Desa Asnaf Perlis pada 2013.

Penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah berkeluasan 37 ekar ini membabitkan pembinaan 30 buah rumah setingkat dengan kelengkapan infrastruktur seperti surau, dewan serbaguna, pusat sumber dan kedai runcit serta padang permainan bagi memberi keselesaan kepada penghuni di sini.

Ia dibangunkan bersama projek penanaman cili diusahakan 29 orang asnaf fakir dan miskin yang mendiami penempatan ini.

Setiap keluarga diperuntukkan satu ekar tanah untuk mengusahakan tanaman terbabit dengan mendapat tunjuk ajar ilmu pertanian serta perladangan daripada Nestlé (Malaysia) Berhad melalui Kelab Cili Nestlé dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang.

Untuk makluman, Kelab Cili Nestlé berperanan membantu asnaf fakir dan miskin di sini berkenaan kaedah pertanian terbaik bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman cili tanpa kos penanaman tinggi.

Selaras dengan konsep Menjana Nilai Bersama Nestlé, penghasilan tuaian cili itu akan dibeli Nestlé bagi tujuan pembuatan MAGGI Sos Cili.

Ia secara langsung dapat menjana pendapatan keluarga asnaf dengan pendapatan purata sebanyak RM1,200 sebulan.

Secara keseluruhannya, penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah melibatkan sumbangan zakat daripada pengeluar zakat di Selangor sebanyak RM8.7 juta.

Selain itu, LZS dan MAIK turut membangunkan pelan pembangunan insan dan pendidikan khusus untuk keluarga asnaf fakir dan miskin di sini dengan memberi penekanan kepada aspek agama, akademik dan sosial bagi melahirkan asnaf yang berwawasan dan mampu berdikari.

Hadir sama dalam majlis ini, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar ibni almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

TAGS