Malaysia Dateline

Sultan Mizan seru program perkasa tulisan jawi, khat dipergiat di Terengganu

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru supaya program memperkasakan tulisan jawi dan penghayatan seni tulisan khat dapat disemarakkan serta dipergiatkan lagi di negeri ini.

“Sukacita Beta nyatakan di sini, adalah menjadi dasar kerajaan Beta untuk melihat program memperkasakan tulisan jawi dan penghayatan tulisan khat dapat disemarakkan dan dipergiatkan lagi di negeri ini,” titah baginda pada majlis perasmian sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu, di Stadium Negeri, hari ini.

Sultan Mizan turut menzahirkan rasa khuatir baginda terhadap tindakan golongan tertentu yang cuba menghalang dan mengganggu pelaksanaan tulisan jawi daripada diamalkan dalam masyarakat Islam.

Dalam pada itu Sultan Mizan bertitah tindakan pihak berkuasa negeri yang menetapkan peraturan tenaga pengajar agama Islam di negeri ini mestilah mempunyai tauliah dan kebenaran pihak berkuasa negeri merupakan satu tindakan untuk menjaga keharmonian serta kestabilan masyarakat.

“Peristiwa hijrah mengajar umat Islam peri pentingnya keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat. Justeru, apa jua sikap, polisi dan tindakan kita sebagai umat Islam mestilah berasaskan penjagaan kepada keharmonian dan kestabilan.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa negeri telah membuat peraturan yang menjurus ke arah itu. Ini termasuklah dalam hal perjalanan dakwah Islamiah dengan menetapkan peraturan tenaga pengajar agama Islam di negeri ini mestilah mempunyai tauliah dan kebenaran daripada pihak berkuasa negeri,” titah baginda.

Titah Sultan Mizan perkara ini selari dengan Peraturan 21, di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Tauliah (Terengganu) 2013, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 yang menyebut: Tiada seorang pun boleh diterima sebagai pengajar, melainkan jika dia diberikan tauliah untuk mengajar pendidikan agama Islam.

Tujuannya adalah untuk memastikan masyarakat Islam di negeri ini terpelihara daripada anasir penyelewengan akidah dan ajaran sesat, titah baginda.

“Sistem pemberian tauliah juga dapat menjamin wujudnya kemampuan para pengajar agama Islam di negeri ini dalam memberikan ilmu yang sebenar di samping memastikan mereka merujuk kepada kitab dan sumber yang muktabar.

“Kesungguhan pihak berkuasa negeri dalam hal pentauliahan ini dapat dilihat dengan menetapkan hukuman bagi pelanggar peraturan pentauliahan ini,” titah baginda.

Sementara itu, bersempena dengan kedatangan tahun baharu hijrah ini, Sultan Mizan menyeru seluruh rakyat Terengganu supaya melakukan hijrah dengan menanam azam dan berusaha meninggalkan segala perbuatan yang dilarang Allah SWT serta mengamalkan perkara yang disuruh oleh Islam, di samping mengukuhkan perpaduan sesama umat Islam.

Baginda turut bertitah tema sambutan Maal Hijrah pada kali ini, ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ sangat sesuai dan perlu direalisasikan dalam kehidupan masing-masing.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.

Antara yang mengiringi keluarga diraja itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri Datin Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Pada majlis itu Sultan Mizan berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima, termasuk Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M peringkat Terengganu kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

— BERNAMA