Sultan Muhammad V berangkat lakukan ibadah korban

Sultan Muhammad V berangkat lakukan ibadah korban

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat ke majlis ibadah korban jamaie (Perdana) 2017 di padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji Kota Bharu hari ini.

Turut berangkat ke program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ialah Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra dan kerabat baginda.

Hadir sama antaranya Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Anuar Tan Abdullah, Mufti Negeri Kelantan Datuk Shukri Mohamad dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Seri Paduka berkenan menyembelih tiga daripada 62 ekor lembu yang disediakan untuk majlis korban berkenaan.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi, pada majlis itu, Seri Paduka dan Pemangku Raja Kelantan serta kerabat diraja menyerahkan 27 ekor lembu korban.

{loadposition myposition} Beliau berkata baki daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh individu yang menyertai ibadah berkenaan.

Katanya daging korban itu kemudiannya diagih-agihkan kepada 1,500 hingga 2,000 penerima yang layak termasuk fakir miskin.

Selain di kompleks berkenaan, pengagihan daging korban diadakan di Masjid Muhammadi di sini, dan dijangka selesai sebelum maghrib hari ini.

CATEGORIES
TAGS