Sultan Muhammad V beri ruang sistem demokrasi Malaysia hidup subur, kata Presiden PKR

Sultan Muhammad V beri ruang sistem demokrasi Malaysia hidup subur,  kata Presiden PKR
Datuk Seri Anwar Ibrahim

Rakyat Malaysia, khususnya warga Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjunjung kasih setinggi-tingginya atas jasa dan khidmat Sultan Muhammad V selama bertugas sebagai Yang di-Pertuan Agong XV, yang antara lain telah memberi ruang luas kepada sistem demokrasi di negara ini hidup subur.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata seluruh rakyat berasa terkejut dan hiba atas pengunduran diri baginda daripada takhta Yang di-Pertuan Agong.

“Sesungguhnya Tuanku sinonim dengan sikap tawadu dan mesra, dan telah memberi ruang yang luas kepada pertumbuhan sistem demokrasi di Malaysia dengan memastikan berlakunya perubahan tampuk kuasa yang pertama kali dalam sejarah Malaysia secara aman, teratur dan damai.

“Dan atas nama peribadi dan keluarga, kami menjunjung kasih Tuanku di atas perkenan Tuanku mempercepatkan proses pengampunan di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sejurus selepas Pilihan Raya Umum-14 yang lepas,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar turut berdoa agar Sultan Muhammad V dikurniakan kesejahteraan dan seterusnya selamat bersemayam selaku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.

Pada Mei 2018, Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampuan penuh kepada Anwar dan dibebaskan serta-merta, sekali gus membolehkan beliau memainkan peranan lebih aktif dalam politik.

Sultan Muhammad V merupakan Yang di-Pertuan Agong XV sejak 13 Dis 2016 meletak jawatan berkuat kuasa Ahad, yang pertama berlaku dalam sejarah Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Loading...