Sultan Nazrin berkenan lawat MAHA

Sultan Nazrin berkenan lawat MAHA
Sultan Nazrin melawat MAHA dengan diiringi Menteri Pertanian, Salahudin Ayub.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melawat pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 sempena hari terakhir ekspo itu.

Baginda yang ditemani Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat tiba di perkarangan Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, pada pukul 10 pagi.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan meluangkan masa selama satu jam dengan mencemar duli melawat ke Laman Perikanan dan Laman Ternakan.

Manakala, rumah pameran Pavilion Perak menjadi lokasi singgahan terakhir baginda sebelum berangkat pulang pada kira-kira pukul 11 pagi.

Dalam lawatan itu, baginda turut diiringi oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Setiausaha Kementerian itu, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa mengadakan lawatan selama kira-kira 15 minit ke beberapa tapak pameran di MAHA 2018.

MAHA 2018 yang bermula pada 22 Nov lepas akan melabuhkan tirainya pada pukul 10 malam ini.

— BERNAMA