Sultan Nazrin jalankan tugas YDP Agong sehingga Disember

Sultan Nazrin jalankan tugas YDP Agong sehingga Disember
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menandatangani watikah pelantikan YDP Agong sementara sehingga 31 Disember depan. Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.-Bernama.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Memetik laporan Bernama, perisytiharan itu bagi membolehkan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas ketika Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan bermula hari ini sehingga 31 Disember.

Istiadat yang berlangsung di Istana Hinggap Perak di sini dimulakan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membaca watikah perisytiharan berkenaan.

Baginda kemudian menandatangani watikah itu.

Selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Persekutuan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan baginda.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum.