Sultan Nazrin titah semua masjid di Perak solat tarawih 20 rakaat

Sultan Nazrin titah semua masjid di Perak solat tarawih 20 rakaat

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzduddin Shah menitahkan bahawa semua masjid di negeri ini hendaklah mengadakan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat sepanjang bulan Ramadhan ini.

Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dr Amiruddin Muhamed berkata,titah itu dikeluarkan adalah untuk memenuhi keperluan dan niat para penduduk kariah yang berhajat mahu menunaikan 20 rakaat solat sunat Tarawih.

“Para makmum yang berhasrat menunaikan ibadah solat sunat Tarawih kurang daripada 20 rakaat, boleh berbuat demikian mengikut pilihan masing-masing.

“Tetapi setiap masjid diwajibkan memenuhi tanggungjawab untuk menyediakan imam dan bilal memimpin solat sunat Tarawih genap 20 rakaat setiap malam,”katanya, menerusi satu kenyataan.

Amiruddin turut berkata, antara titah Sultan Nazrin lagi ialah, solat sunat Tarawih hendaklah diutamakan dan dilaksanakan sebaik selesai menunaikan solat sunat Rawatib (yang mengiringi solat Isyak).

“Oleh itu, kegiatan tazkirah di antara solat sunat Rawatib dengan solat sunat Tarawih dan antara rakaat-rakaat semasa mengerjakan solat sunat Tarawih adalah dilarang,”ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)