Sultan Perak mahu faktor anak muda sertai militan dikenal pasti

Sultan Perak mahu faktor anak muda sertai militan dikenal pasti

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah usaha mengenal pasti faktor yang memesong pemikiran anak muda sehingga menyertai kumpulan militan mesti dilakukan pihak berkuasa.

Ia dapat membantu pihak berkuasa merangka langkah yang lebih komprehensif dalam menangani isu berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia telah melakukan beberapa tangkapan, namun tangkapan tidak menjamin masalah telah selesai, kalau punca masalah gagal difahami secara mendalam,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak Darul Ridzuan hari ini.

Baginda bertitah, setiap agama menyeru kepada perdamaian dan keamanan, menyemai rasa keinsanan dan kemanusiaan, melarang permusuhan, mencegah pembunuhan.

“Kini ada rakyat yang telah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ekstremis, hingga ke peringkat bersedia menyertai kumpulan militan, sanggup meninggalkan tanah air, dan ada yang telah terkorban di negara orang,” titah baginda.

Baginda juga melahirkan rasa bimbang terhadap penularan pelbagai aliran pemikiran konvensional dan baharu yang menongkah arus pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah.

Titah baginda, ia merupakan satu cabaran yang bakal merungkai pegangan akidah dan boleh memporak-perandakan ummah.

“Ulama dan cendekiawan Islam hendaklah mencari titik pertemuan dan kata sepakat menangani isu berkaitan daripada berlarutan.

“Dalam matlamat mahu mencari titik pertemuan, perbincangan yang dirintis, lebih bijaksana dilakukan dalam semangat permuafakatan secara halus dan di belakang tabir, daripada digembar-gembur di khalayak ramai, disebabkan masing-masing mahu menegakkan kebenaran hingga mengakibatkan umat keliru” titah baginda.

COMMENTS

Wordpress (0)