Malaysia Dateline

‘Sultan relaks saja tak sebut apa-apa’

Setiausaha Politik Pesuruhjaya Pas Perak tampil mempertahankan tindakan parti itu selepas dikecam warganet sebagai derhaka kerana membatalkan rancangan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah semalam.

Melalui hantaran Facebook Fairuz Hafiizh Othman, dia berkata, Pas Pusat sedang berusaha mencari jalan terbaik menyatukan Melayu Islam kerana jika silap percaturan, penyatuan akan musnah.

Katanya juga, langkah Pas perlu tenang dalam mengimbangi persaingan Bersatu dan Umno kerana hanya Pas yang berada di tengah-tengah antara Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

“Dah tersebar kononnya Pas Derhaka (kepada) Sultan. Sultan rilek (tenang) je tak sebut apa pun.

“Pas tak boleh terheret sama dalam polemik perpecahan ini. Sewajarnya kita semua letakkan keyakinan untuk usaha menghalang dari runtuhnya penyatuan umat Melayu Islam khasnya di Perak,” katanya malam tadi.

Hafiizh juga menganggap Pas dari awal telah berusaha mengukuhkan penyatuan Melayu Islam di negeri itu dengan menyokong kepimpinan Ahmad Faizal, namun dipermainkan oleh Umno.

Bahkan katanya, Pas yang cuba menjadi pendamai akhirnya dipersalahkan.

“Dari awal Pas cuba perteguhkan penyatuan ini. Usul yang dibawa Umno disokong oleh Pas. Malangnya Umno yang tak sokong. Kesian Pas kena game (dipermainkan) dengan Umno.

“Sudahnya apabila keadaan semakin parah, Pas yang cuba mendamaikan dipersalahkan.

“Pas mahu mengadap Tuanku dengan persediaan yang rapi kerana tingginya penghormatan Pas kepada istana. Pas tidak mahu mengecewakan Tuanku jika hadir tanpa sebarang keputusan yang memuaskan hati baginda,” katanya lagi.