Malaysia Dateline

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah

Sultan Selangor arah buang papan tanda dwi bahasa

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menitahkan agar semua papan tanda yang mempunyai tulisan bahasa Mandarin di negeri Selangor diturunkan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Muni Bani berkata, Sultan Selangor telah menitahkan supaya semua Papan Tanda Jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan diganti dengan Papan Tanda Jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Melayu.

“Operasi penukaran Papan Tanda Jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Disember depan.,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Sinarharian online dipetik melaporkan majoriti netizen mahukan papan tanda berbahasa Cina bagi menghormati bahasa kebangsaan.

Menjawab isu ini semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memaklumkan papan tanda dwibahasa dibenarkan di Kampung Baru Cina dan Kampung Baru Melayu.

Menurutnya, penggunaan tulisan Cina selain bahasa kebangsaan di papan tanda beberapa kampung baru Cina sudah wujud sejak beberapa tahun lalu dan beliau hairan mengapa ia tiba-tiba menjadi isu ketika ini.