Malaysia Dateline

Sultan Selangor arah sekolah tahfiz swasta tidak berdaftar ditutup

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengarahkan semua sekolah tahfiz swasta yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam (JAIS) ditutup dan ditamatkan perkhidmatan, lapor Selangorkini.

Baginda bertitah, tindakan sama juga perlu diambil terhadap sekolah tahfiz swasta yang tidak mempunyai ko-kurikulum dan sistem pendidikan moden.

“Pendidikan tahfiz di Selangor sudah menarik minat ramai ibu bapa dan pelajar.

“Beta menitahkan sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan JAIS dan tidak mempunyai ko-kurikulum serta sistem pendidikan akademik moden ditutup juga ditamatkan perkhidmatannya,” titah baginda, lapor media rasmi kerajaan negeri Selangor itu.

Baginda bertitiah demikian sempena pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) Kali ke-14 Tahun 2019, di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Secara keseluruhan terdapat 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan JAIS.

Tahun lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengarahkan semua sekolah tahfiz di Wilayah Persekutuan didaftarkan di negeri itu.

Ini ekoran salah laku pihak pengurusan sebuah sekolah tahfiz terhadap pelajarnya di Kepong, Kuala Lumpur.

Ekoran itu, sekolah-sekolah tahfiz di Wilayah Persekutuan mula dibuat pra pendaftaran sebelum pendaftaran penuh dibuat.