Sultan Selangor berkenan ziarahi MB Kelantan

Sultan Selangor berkenan ziarahi MB Kelantan

Sultan Sharafuddin (empat dari kiri) meluangkan masa kira-kira 45 minit bertanya khabar dan berbual bersama Ahmad (tiga dari kiri) yang ketika ini masih bercuti selepas menjalani pembedahan kecil pada 14 April lalu.- Foto Pejabat MB Kelantan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menziarahi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Baginda, yang diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tiba pada kira-kira 2.30 petang dan disambut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan beberapa anggota Exco Kerajaan Kelantan.

Sultan Sharafuddin meluangkan masa kira-kira 45 minit bertanya khabar dan berbual bersama Ahmad yang ketika ini masih bercuti selepas menjalani pembedahan kecil pada 14 April  akibat pendarahan kecil di bahagian kiri kepalanya.

Ahmad dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 13 April. Selepas menjalani pembedahan itu, beliau dinasihatkan berehat secukupnya selain menjalani pemeriksaan susulan dan tugas rasminya dipangku Mohd Amar.

Sementara itu, Mohd Amar berkata kerajaan negeri merakamkan rasa bangga dan penghargaan tidak terhingga kepada Sultan Selangor dan kerajaan negeri Selangor di atas keprihatinan yang diberikan.

“Bagi kita ia satu penghormatan yang amat besar. Kunjungan ini memang bersejarah kerana sebelum ini setakat yang diketahui tiada lagi kunjungan seumpama ini daripada Sultan Selangor,” katanya.

Mohd Amar juga berkata Ahmad kini bertambah sihat dan sedang mendapatkan rehat yang secukupnya seperti yang dinasihatkan doktor.

Katanya Ahmad dijangka kembali bertugas seperti biasa selepas cutinya berakhir 19 Mei ini.

TAGS