Malaysia Dateline

Sultan Selangor namakan semula masjid Jamek kepada Masjid Sultan Abdul Samad

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menamakan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini.

Majlis penamaan semula masjid berkenaan diadakan di perkarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur yang turut dihadiri, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan tiba baginda diiringi, Dato’ Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Turut mengiringi baginda, pimpinan Kerajaan Persekutuan yang diketuai, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk  Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor; dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Penamaan semula masjid itu merupakan sebahagian daripada inisiatif memelihara khazanah negara bagi memberi nilai tambah kepada daya tarikan pelancongan di ibu kota, Kuala Lumpur.

Difahamkan, masjid yang dibina sejak 1909 oleh pedagang arab itu boleh memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa dengan pembaikan keluasan ruang solat seluas 4,000 kaki persegi.

Kedudukannya yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur itu menjadi mercu tanda dengan kedudukannya bersebelahan Dataran Merdeka selain kemudahan akses jaringan pengangkutan awam.

Tarikan terkini masjid berkenaan antararanya payung gergasi hidraulik yang dipasang di bahagian luar struktur bangunan menyamai pembinaan Masjid Nabawi, Madinah.

Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) giat melaksanakan pembaikan dan pemuliharaan stuktur bangunan masjid bagi mengekalkan ciri warisan dan tradisinya.

Dalam perkembangan lain, baginda turut berkenan mencemar duli menunaikan solat Jumaat seterusnya bersalaman bersama warga kota yang tidak melepaskan peluang untuk mendekati Sultan berjiwa rakyat itu.