Malaysia Dateline

Sultan Selangor perkenan Kampung Baru dibangunkan

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan agar Kampung Baru dibangunkan semula supaya lebih relevan dengan kepesatan Kuala Lumpur.

Perkara itu dijelaskan dalam satu pertemuan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang mengadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam semalam.

Pertemuan itu bertujuan menyembahkan pelan pembangunan semula Kampong Baru dan isu-isu semasa yang berkaitan dengannya.

Beberapa keping foto telah dimuat naik di laman facebook Selangor Royal Office yang menyatakan pertemuan Khalid itu turut diiringi  Pengerusi Perbadanan Kampung Bharu (PKB). Tan Sri Ambrin Buang.

Turut kelihatan hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Husham A. Dahlan.

Sultan Sharafuddin  melihat rangka  projek pelan pembangunan yang  dirancang oleh Kementerian Wilayah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Kampung Bharu untuk membangunkan kawasan Kampung Baru yang sudah berusi 119 tahun itu.

Menurut kenyataan di laman itu Sultan Sharafuddin memberi perkenan agar kawasan Kampong Bharu dibangunkan semula seiring dengan kemajuan pesat bandaraya Kuala Lumpur supaya terus relevan.

Namun dalam masa sama, Baginda turut menekankan peri pentingnya susur galur sejarah Kampong Bharu dipelihara, termasuk memulihara struktur bangunan ikonik dan mengekalkan nilai-nilai asal kawasan berkenaan.

Sebagai rekod kawasan Kampung Baru yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur akan diletakkan di bawah PKB. Kawasan itu akan dibangunkan oleh syarikat pemaju Rah Properties Corporation Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar RM182 juta yang akan merangkumi 187 unit kondominium 39 tingkat bagi tujuan mengantikan kediaman pemilik dan waris Kampung Baharu.

Projek yang bermula pada Mei lalu itu dijangka siap pada Mei 2019 membabitkan keluasan 3,310 meter persegi dengan kos pembangunan RM145 juta termasuk kos pengambilan tanah RM25 juta.