Sultan Selangor perkenan kekalkan tiga Exco Pas

Sultan Selangor perkenan kekalkan tiga Exco Pas

Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk mengekalkan tiga Exco kerajaan Selangor daripada parti Pas dikekalkan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, keputusan itu dibuat oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas meneliti segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta memelihara kepentingan rakyat.

Menurutnya, ia hasil daripada pertemuan baginda dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang berhasrat mahu mengekalkan ketiga-tiga exco berkenaan sehingga ke tarikh pilihan raya umum akan datang.

Baginda juga kata beliau telah menerima mengadap Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Ahli Dewan Negeri Kawasan Sabak bersama tiga ahli Exco berkenaan untuk mengetahui pendirian dan kedudukan mereka dalam barisan Exco.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yakin bahawa kepercayaan yang diperolehi oleh Datuk Seri Mohamad Azmin Ali ketika dilantik sebagai Menteri Besar pada September 2014 masih kekal.

“Baginda telah mengambil kira mandat yang telah diberkan oleh rakyat kepada Kerajaan Negeri yang sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan agar kemakmuran rakyat di negeri Selangor ini tercapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 (Dari kiri) Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Zaidy Abdul Talib.

Sehubungan itu katanya, baginda menyeru kepada semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif berhubung kestabilan kerajaan Selangor ketika ini.

Semalam, Azmin pada satu sidang media di Shah Alam memberitahu keputusan berkenaan dicapai meskipun parti Islam itu telah menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Katanya, keputusan untuk mengekalkan ketiga-tiga anggota Exco itu dibuat selaras dengan mandat yang diberi oleh rakyat Selangor kepada Pas, PKR dan DAP atas nama Pakatan Rakyat pada PRU lepas.

Tiga exco Pas di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi); serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, yang menerajui kerajaan Selangor, selepas Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar, Kedah bulan lepas meluluskan usul supaya pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka.

COMMENTS

Wordpress (0)