Sultan Selangor perkenan terima menghadap Anwar, turut dibincang calon MB Selangor

Sultan Selangor perkenan terima menghadap Anwar, turut dibincang calon MB Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima menghadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Kayangan di sini.

Pertemuan secara tertutup yang berlangsung selama kira-kira sejam setengah itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Terdahulu kenderaan yang membawa Anwar dilihat memasuki perkarangan istana pada kira-kira 10 pagi.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita semasa dalam perjalanan keluar, Anwar berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah berkenaan calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Mohamed Azmin yang telah memegang jawatan sebagai menteri kabinet.

“Kita ada bincang mengenai soal itu, perkara ini hampir selesai,” katanya seperti dipetik Bernama.

Ketika ditanya tentang calon yang berpotensi untuk menggantikan Mohamed Azmin, dalam nada bergurau Anwar menjawab: “Senarai calon terlalu banyak, banyak puluh”.

Menjawab soalan sama ada calon menteri besar berkemungkinan daripada parti lain selain PKR, Anwar berkata senarai calon itu dibuka kepada semua parti dalam Pakatan Harapan.

“…tetapi dalam soal ini, calon menteri besar haruslah daripada parti yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, dalam soal ini adalah Keadilan (PKR).

“Sesiapa sahaja calon berkelayakan boleh menggantikan dia (Mohamed Azmin), tetapi ia belum diputuskan lagi,” katanya.

Semalam, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata baginda telah memberi perkenan untuk Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diadakan selepas Aidilfitri iaitu pada Selasa, 19 Jun ini.

Selangor bakal mendapat menteri besar baharu selepas Mohamed Azmin yang telah dilantik sebagai menteri besar untuk penggal kedua sebelum ini, menyertai kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin, 54, yang juga timbalan presiden PKR mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 23 September 2014.

Menurut Anwar, dalam pertemuan dengan Sultan Sharafuddin, perkara berkaitan ekonomi negeri dan isu kebajikan turut dibincangkan.

“Tuanku bertitah supaya memartabatkan Bahasa Melayu dan kedudukan Agama Islam selain menjaga keharmonian pelbagai kaum,” katanya.

Pada Selasa lepas, Anwar turut menghadap Pemangku Raja Pahang,Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sebuah hotel di ibu negara.

Sebelum itu, beliau telah menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, sebaik dibebaskan pada 16 Mei lalu selepas diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Anwar dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Seri Paduka selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas kes liwat.

Ketua Umum PKR itu dan isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Jumaat lepas turut melakukan kunjungan hormat di Istana Mahkota, Kota Bharu, Kelantan menghadap Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra serta bonda dan ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote