Sultan Selangor rasmi pintu gerbang Kota Darul Ehsan

Sultan Selangor rasmi pintu gerbang Kota Darul Ehsan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah malam tadi berkenan merasmikan pintu gerbang Kota Darul Ehsan, yang dinaik taraf, oleh kerajaan negeri atas titah baginda.

Pintu gerbang itu, yang melambangkan sempadan antara Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Lumpur, dinaik taraf selepas 36 tahun.

Baginda, yang tiba di sebuah hotel di Petaling Jaya dengan diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menzahirkan rasa puas hati dengan projek naik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) menerima replika Kota Darul Ehsan dari Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor Datuk Ir, Ruslan Abd Aziz (kiri) selepas Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan di sebuah hotel malam tadi.-Foto Bernama

“Beta amat berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor atas usaha yang dilakukan bagi menyempurnakan projek menaiktaraf Kota Darul Ehsan.

“Pembinaan kota ini telah bermula pada 1 Feb 1974 apabila Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dan pada ketika itu almarhum ayahanda beta, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah menitahkan agar sebuah pintu gerbang dibina sebagai tanda sempadan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabat Sultan Selangor hari ini.

Baginda bertitah, mengikut rancangan asal, pembinaan kota tersebut sepatutnya dibuat di atas garis sempadan, namun ia dianjak sedikit ke lokasi sekarang bagi menjimatkan kos.

“Kota ini kemudian dibuka secara rasmi pada 1981 dan kini setelah 36 tahun, Kota Darul Ehsan diberi nafas baharu serta tampil indah sesuai dengan imejnya sebagai ikon negeri Selangor,” titah baginda.

Baginda turut menyeru sekalian rakyat agar sama-sama menghargai pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang merupakan mercu tanda kebanggaan negeri Selangor.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk kerja-kerja menaik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang bermula pada 15 April 2015 dan siap sepenuhnya pada 30 September lalu.

Projek tersebut membabitkan beberapa komponen penting termasuk ukiran dan motif di bahagian dinding dan kaki tiang yang menggunakan bahan ringan dan tidak berbahaya kepada pengguna jalan raya tanpa mengubah konsep asal reka bentuk Kota Darul Ehsan.

Skop kerja juga melibatkan tiang bendera, jata negeri Selangor, kanopi dan skema warna yang bersesuaian dengan imej negeri Selangor.

Selain itu, sistem pencahayaan khusus dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan infra sistem bekalan elektrik turut dilakukan serta penanaman rumput dan pokok renek di sekitar kawasan Kota Darul Ehsan.

CATEGORIES