Malaysia Dateline

Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain itu, darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman juga ditarik semula berkuatkuasa hari ini.

Menerusi kenyataan rasmi dari istana hari ini, baginda berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor setelah berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor dalam mesyuarat khas di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Penarikan balik darjah tersebut berkuat kuasa pada 12 September 2022, selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

Najib telah dikurniakan Keahlian Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992.

Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd.

Manakala Rosmah pula telah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

Beliau telah didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah. Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

Maka dengan itu, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022.

Sementara itu, Mohd Arif telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Datuk– Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2005, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga pada tahun 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat pada tahun 2001.

Beliau telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah.

Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Maka dengan itu, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Datuk– Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022.