Malaysia Dateline

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri harap Deepavali disambut dengan harmoni

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berharap agar pesta cahaya kali ini terus disambut dalam suasana yang harmoni, hormat menghormati, penuh toleransi dengan semangat perpaduan yang utuh.

“Baginda juga mahu supaya sambutan perayaan sebegini diraikan dengan meriah, sambil tetap berwaspada serta mematuhi SOP yang ditetapkan memandangkan wabak Covid-19 masih menular di dalam komuniti.

“Semoga limpahan cahaya yang menjadi simbol perayaan Deepavali mampu terus menyinari semangat perpaduan antara kaum di Malaysia dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang,” titah baginda dalam satu hantaran di Facebook.

Hantaran tersebut dimuatnaik laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu yang meraikannya.