Malaysia Dateline

Sultan Selangor titah pemerintah tangani rasuah dengan hukum lebih tegas

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rasuah adalah sangat berbahaya dan bala yang besar.

Rasuah juga kata baginda ia sesuatu memudaratkan masyarakat, memudaratkan orang Islam, dan meletakkan pengurusan dan pentadbiran menjadi tidak stabil.

Baginda bersetuju dengan saranan di dalam khutbah Jumaat semalam berkenaan agar rasuah mestilah dibanteras oleh pemerintah dengan mengenakan hukum yang lebih tegas agar mereka menjadi gerun dan takut.

“Dalam menangani kes rasuah pemerintah hendaklah lebih terfokus kepada langkah pencegahan sebelum terjadinya kes jenayah rasuah tersebut.

“Dengan cara itu golongan terbabit menjadi gerun dan takut apabila pemerintah lebih fokus kepada langkah pencegahan sebelum terjadinya jenayah tersebut,” titah baginda.

Tuanku juga menyeru umat Islam negeri ini memahami dan menghayati intipati khutbah berkenaan mengatakan Allah melaknat pengamal rasuah kerana bahayanya yang besar.

“Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan tidak boleh juga seseorang pegawai mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga daripadanya,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.