Malaysia Dateline

Sultan Selangor zahir dukacita, titah zakat hulur bantuan ke kawasan terjejas

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan bencana banjir terburuk yang sedang melanda sebahagian besar daerah-daerah di Negeri Selangor susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Menurut kenyataan Istana Shah Alam, baginda Sultan bertitah agar pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyegerakan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas.

Baginda turut bertitah agar Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenalpasti situasi rakyat yang kritikal.

“Baginda menyeru agar pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemaskini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti ini supaya respons pantas dapat diambil serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin juga menzahirkan rasa terharu melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan-kumpulan sokongan yang saling bantu membantu antara satu sama lain ketika berdepan keadaan amat meruncing.