Sultan terima tiga gagasan Islam, rundingan dengan negeri berterusan

Dr Mujahid Yusof Rawa bergambar bersama sebahagian mahasiswa pada sesi Dialog Menteri Rahmatan Lil A’lamin Di Malaysia di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memberitahu, sultan-sultan menyambut baik tiga kerangka utama yang cuba diketengahkannya iaitu Rahmatan Lil A’lamin, maqasid syariah dan kaedah fiqh Malaysia.

Beliau berkata, maklum balas positif itu diperoleh hasil daripada beberapa pertemuan Naib Presiden AMANAH berkenaan dengan pihak istana di beberapa negeri.

“Sebulan selepas saya menjadi menteri, saya dipanggil menghadap Tuanku-Tuanku Sultan. Jadi, saya bawa isu-isu ini kepada pengetahuan raja-raja.

“Di Kedah, Perak, Johor, Terengganu, saya sudah menghadap Tuanku Sultan. Hanya berbaki Selangor dan Pahang belum lagi saya menghadap.

“Saya mempersembahkan tiga dasar tadi. Alhamdulillah. Mereka menerimanya dengan harapan perkara ini dapat dilaksanakan,” ujarnya menjawab soalan salah seorang mahasiswa dalam Dialog Menteri: Rahmatan Lil A’lamin di Malaysia di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya (UM) malam tadi.

Beliau bagaimanapun mengakui wujudnya bidang kuasa berkaitan Islam antara di peringkat Persekutuan dan negeri tetapi proses rundinagn berhubung hal tersebut sentiasa berlangsung.

“Mungkin ada isu tentang kuasa Persekutuan dan negeri, akan sentiasa berlaku perundingan antara peringkat Persekutuan dan Negeri,” jelasnya yang memegang jawatan menjaga portfolio hal ehwal agama Islam itu.

Dr Mujahid berkata, beliau turut mengadakan siri pertemuan sejak lebih empat bulan lalu dalam memberikan penjelasan berkaitan gagasan Rahmatan Lil A’lamin, maqasid syariah dan kaedah fiqh Malaysia.

Antaranya, siri dialog di universiti, penjelasan di stesen televisyen dan pertemuan dengan negeri-negeri.

“Dalam tempoh 100 hari saya telah membawa agensi-agensi di bawah saya menerima ia sebagai dasar baharu yang mesti diterapkan di peringkat pentadbiran mereka. Itulah pelaksanaannya.

“Tidak berakhir setakat itu, akan ada susulan, mekanisme dan usaha-usaha untuk mengenal pasti di mana lemahnya, di mana perlu diperbaiki.

“Begitu juga saya adakan pertemuan dengan hakim-hakim mahkamah syariah. Saya berikan mereka misi ini. Maknanya pelaksanaan itu berlaku.

“Rahmatan Lil A’lamin, maqasid syariah dan fiq Malaysia adalah perkara yang boleh membawa pentadbiran Islam ke tahap lebih tinggi lagi,” tegasnya.

Memanggil

Dr Mujahid berkata, beliau mempunyai kuasa untuk memanggil guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), imam dan penyelaras masjid dari seluruh negara memandangkan mereka datang dari Jabatan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.

“Merekalah sebagai platform untuk menyampaikan mesej-mesej (Rahmatan Lil Alamin, maqasid syariah dan kaedah fiqh Malaysia) kita.

“Ini termasuk pertemuan tiga bulan sekali dengan Majlis Agama Negeri dan Exco agama di negeri masing-masing. Di situlah, saya menyampaikan hasrat Persekutuan agar negeri dapat melaksanakannya.

“Dari segi politik, beberapa negeri yang diperintah oleh parti yang sama di peringkat Persekutuan lebih memudahkan untuk kita membawa gagasan-gagasan ini,” jelasnya dalam program anjuran Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) itu.

Ditanya sama ada konsep Rahmatan Lil Alamin hanyalah dasar baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding polisi Islam terdahulu, Dr Mujahid mengakui dasar seperti Islam Hadhari dan Wasatiyyah yang dibawa oleh kerajaan terdahulu adalah dasar yang bagus.

“Dasar Rahmat Lil Alamin ini adalah perjalanan untuk menyempurnakan gagasan yang ada sebelum ini, malah ijtihad Rahmatan Lil Alamin ini juga lebih besar berbanding gagasan Wasatiyyah yang dibawa oleh kerajaan terdahulu.

“Saya juga tidak boleh nafikan bahawa, dasar Islam yang dibawa oleh kerajaan terdahulu ada yang baik seperti Dasar Tahfiz, yang mana akan diteruskan,” tambah Dr Mujahid lagi.

7.0
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 6.0