Malaysia Dateline

Sumbang mahram menggila, institusi keluarga rapuh, kata Siti Mariah

Beliau dalam tulisannya berkata,peranan golongan lelaki seperti ayah, abang, datuk dan seumpamanya sebagai pelindung juga kelihatan terhakis apabila beberapa laporan yang dibuat menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab apabila tergamak menjadi perogol anggota keluarga sendiri.

Mengulas mengenai perbicaraan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak terhadap seorang bapa pada 4 Julai lalu amat menimbulkan perasaan sedih dan terkilan.

“Paling menyayat hati adalah kes ini di mana seorang bapa didakwa atas 600 pertuduhan membabitkan merogol dan meliwat anak perempuannya tiga kali setiap hari sepanjang tujuh bulan lalu yang disifatkan pertama kali dalam sejarah.

“Lebih sadis seperti kes yang dilaporkan di Sarawak apabila datuk, bapa kandung dan bapa saudara sendiri menjadi perogol. Sukar memahami bagaimana kesemua mereka tanpa segan silu dan malu melakukan jenayah terkutuk itu,” ujarnya dalam kenyataan.

Dr Siti Mariah yang juga Biro Komunikasi Awan turut berkongi berpengalaman di kalangan mereka yang terbabit dalam bidang kebajikan sosial dan perubatan, yang memberikan petunjuk kejahilan ibu kepada hukum-hukum agama turut menjadi punca berlakunya jenayah sumbang mahram ini.

“Terdapat kes di mana terdapat ibu yang membiarkan anak perempuan tidur bersama datuknya tanpa memahami di sana wujudnya hukum agama mengenai batas-batas pergaulan dan perhubungan walaupun antara sesama anggota keluarga.

“Saya juga yakin kejadian-kejadian jijik seperti ini masih berleluasa berlaku di luar sana tetapi wujud pula beberapa kekangan yang menyukarkan tangkapan dan dakwaan dibuat.

“Antaranya adalah hidup mangsa yang bergantung kepada perogol sehingga menimbulkan dilema untuk membuat laporan kerana bimbang dengan nasib dirinya jika perogol itu yang juga anggota keluarganya dipenjarakan.

“Lebih mengecewakan apabila terdapat pula anggota keluarga perogol yang juga saudaranya meminta mangsa tidak melaporkan atas faktor yang sama. Dalam hal ini, pihak berkuasa dan pertubuhan kebajikan perlu memikirkan langkah untuk membantu mangsa dan keluarga jika perogol itu dipenjarakan.

“Selain itu, mangsa juga terpaksa menyembunyikan masalah ini kerana malu dengan nasibnya jika diketahui keadaan dirinya yang pernah dirogol. Dalam hal ini, emosi mangsa rogol tidak sama dengan mangsa jenayah yang lain,” ujarnya.

Katanya lagi, jika perogol ditangkap, masyarakat sekeliling secara mudah akan mengetahui siapa mangsa rogol itu apatah lagi bila kes ini dilaporkan secara meluas dalam media.

Berbeza dengan perogol yang disumbatkan dalam penjara, ujarnya, keadaan berbeza dengan mangsa dan keluarga apabila mereka terpaksa berdepan dengan masyarakat keliling setiap hari. Hubungan dengan saudara-mara juga sudah pasti turut terjejas dan porak peranda.

Apabila keadaan bertambah buruk, langkah terbaik boleh diambil mungkin berpindah keluar dari kampung atau kejiranan tersebut. Nak berpindah pula tidak mudah, banyak perkiraan perlu diambil yang membabitkan soal kewangan juga.

Terang beliau lagi, Lebih malang bila mangsa masih bersekolah. Mangsa terpaksa berdepan rasa malu dengan rakan-rakan dan guru sehingga berpotensi menjejaskan motivasi mangsa untuk terus belajar. Tidak hairanlah jika ada yang memilih untuk terus berhenti belajar kerana keadaan yang tidak menyebelahi mereka..

“Melihat perkara ini, saya sukar bersetuju dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menganggap ada mangsa rogol bawah umur yang berada dalam keadaan yang baik walaupun diketahui mangsa tidak bersekolah.

“Tiada apa yang baik jika peluang pendidikan yang merupakan hak dan nikmat yang setiap rakyat terabai kerana kesilapan pihak tertentu dalam menangani masalah ini.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan agar satu mekanisme perisikan dan penyiasatan yang lebih menyeluruh, pantas dan berkesan boleh diwujudkan supaya dakwaan dan tangkapan boleh dibuat tanpa perlu menunggu laporan polis dibuat terlebih dahulu,” ujarnya.

Justeru beliau menekankan agar jaringan komuniti yang prihatin, jaminan keselamatan, perlindungan, kaunseling dan kebajikan yang menyeluruh perlu ditawarkan dan dihebahkan supaya mangsa merasa yakin bukan sahaja undang-undang tetapi keadaan serta masa depan akan menyebelahi kepada nasib dirinya.

“Anggota masyarakat, jawatankuasa masjid, jawatankuasa kampung atau kawasan kejiranan dan pihak sekolah jangan lagi mengambil sikap ‘jangan menjaga tepi kain orang’ kerana pencegahan seperti ini menuntut kerjasama dan merupakan tanggungjawab semua pihak.

Perbalahan golongan agamawan

“Selain itu, saya juga merayu dengan penuh rendah diri kepada golongan ilmuwan Islam, cukup-cukuplah berbalah sesama sendiri atas perkara yang boleh diperselisihkan dan dibenarkan dalam agama, masyarakat semakin keliru dan hilang pedoman apabila kalian memilih untuk ‘berperang’ sesama sendiri.

“Sekiranya polemik menasabkan anak luar nikah kepada ‘bin Abdullah’ selesai atau reda, saya merayu sekali lagi kepada semua ilmuwan Islam yang berkepakaran ini untuk bersama-sama pula memikirkan langkah pencegahan dan pemulihan kepada masalah sumbang mahram ini.

“Segenap jentera dakwah seperti jabatan agama Islam negeri, institusi masjid, pegawai agama dan media perlu dimobilisasi sepenuhnya untuk membasmi gejala sumbang mahram ini daripada berlaku dan merebak,” ujarnya.

Katanya lagi negara sedang berhadapan dengan pelbagai krisis moral termasuklah peningkatan anak luar nikah yang cukup merunsingkan terutama apabila mangsa dan pemangsa adalah sesama anggota keluarga.

“Tidak cukup jika kita sekadar berbangga dengan keunggulan agama Islam ini sekiranya masalah masyarakat terus berhadapan krisis yang belum nampak berkesudahan,” tegasnya.