Malaysia Dateline

Sumbangan al-Aqsa: MBM saran dialog antara NGO, Kedutaan Palestin

 

Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa satu dialog diadakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kedutaan Palestin di Malaysia bagi menjelaskan polemik yang melanda ketika ini.

Penolong Setiausaha Agung MBM, ‘Atiqah Syairah Shaharuddin berkata, gesaan itu dilakukan demi membela hak-hak demokrasi dan kebajikan antara badan-badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa.

Katanya, hal tersebut mustahak dan wajar disegerakan demi mengelakkan hubungan yang melebam dan akhirnya menjejaskan akses bantuan kepada rakyat di Palestin.

“Kami yakin dan percaya kedua-dua pihak mempunyai intipati asas dalam mengeluarkan pendapat dan komen. Namun demikian, harus wujud satu laras kefahaman antara kedua-dua belah pihak.

“Kumpulan-kumpulan NGO yang sememangnya giat dalam aktiviti mengumpul sumbangan dan menghantar bantuan-bantuan ke Palestin juga telah tampil dengan kenyataan mengatakan mereka tidak menyeleweng dana untuk Masjid Al-Aqsa.

“Rakyat Palestin telah semakin dihimpit pasca ‘Deal of Century’ yang dilihat akan bakal menimbulkan lebih banyak konflik.

“Sekarang ini adalah ruang kesepakatan antara kesemua pihak harus digembleng untuk membantu dan memastikan akses bantuan berterusan kepada golongan yang memerlukan dan jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam isu sama, ‘Atiqah berkata, antara cadangan awal yang perlu diperbaiki dalam aspek terma dan syarat bantuan yang dihantar oleh NGO serta rekod dan dokumentasi yang lebih telus.

“Hal ini juga tertakluk kepada pihak berkuasa yang memberikan ruang sepadan kepada kumpulan NGO serta tidak merumitkan dengan isu birokrasi sumbangan yang disalurkan,” katanya lagi.

Menurut ‘Atiqah, pihaknya sebagai pemegang taruh pertubuhan belia di Malaysia yang turut dijemput hadir dalam siri-siri diskusi dan berminat dalam menganjurkan program antara Kedutaan Palestin di Malaysia bersama NGO-NGO di Malaysia dalam rangka berkongsi inisiatif dua hala.

Semalam, BH melaporkan, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin untuk pembangunan dan pembebasan Masjid al-Aqsa tidak sampai kepada Jabatan Wakaf Baitulmaqdis yang ditadbir oleh Kementerian Wakaf Jordan.

Dalam pada itu NGO tempatan yang membuat kutipan sumbangan menyerahkan dana secara terus kepada rakyat Palestin melalui wakil yang dilantik mereka, sekali gus menafikan dakwaan Walid Abu Ali yang mendakwa dana berkenaan diseleweng.

Timbalan Presiden Muslim Care, Mohd Johari Ismail, berkata kebanyakan NGO tidak melalui kerajaan untuk menyerahkan sumbangan.

“NGO Malaysia tidak melalui kedutaan kerana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tidak mesra dengan kita,” katanya seperti dipetik Harian Metro.